Posted by : Uchiha Tobi 2 Jan 2012

Watak utama

Light Yagami
Light Yagami (Kira) (夜神月 Yagami Raito) Suara oleh: Mamoru Miyano
Watak utama Death Note. Light adalah seorang pelajar berusia 17 tahun yang pintar tetapi sering berasa bosan. Setelah dia menemui Nota Maut kepunyaan shinigami bernama Ryuk yang tercicir di dunia manusia, dia mula menggunakannya untuk membunuh semua penjenayah. Matlamat utamanya adalah membersihkan dunia daripada kejahatan agar dapat mencipta dunia baru dan menjadi "tuhan" bagi dunia baharu itu. Dia menganggap dirinya adil.
Siri Death Note tamat dengan kematian Light, namun cara kematian Light adalah berbeza antara versi manga, anime dan filem. Di dalam manga, Light yang dalam kesempitan merayu kepada Ryuk untuk membunuh kesemua ahli kumpulan penyiasatan serta ahli SPK yang diketuai oleh Near, tetapi sebaliknya Ryuk pula menulis nama Light di dalam Nota Mautnya. Situasi yang hampir sama juga berlaku di dalam versi filem, tetapi watak Near digantikan dengan L berikutan tiada jarak masa di dalam filem. Di dalam versi anime pula, Light melarikan diri setelah Teru Mikami membunuh diri, tetapi tidak lama kerana dia kehilangan banyak darah setelah ditembak oleh Matsuda. Seterusnya, Ryuk menulis nama Light tanpa bersua dengannya.
L
L (エル Eru) Suara oleh: Kappei Yamaguchi
L, atau nama sebenarnya L Lawliet ialah penyiasat terkemuka dunia yang bertugas mengesan dan menangkap Kira serta menjadi musuh ketat Light. Penampilan ganjilnya tidak mencerminkan kehebatannya dalam bidang penyiasatan; L suka duduk mencangkung dan memakan gula-gula semasa bermesyuarat. Dia sering menggunakan strategi drastik bagi mengelirukan dan memerangkap Kira walaupun menghadapi risiko untuk mengorbankan nyawanya sendiri.
Cara kematian L di dalam versi manga dan anime adalah sama; Light mempergunakan shinigami Rem untuk membunuh musuh ketatnya itu. Namun di dalam versi filem pula, L menulis namanya sendiri terlebih dahulu dengan menetapkan jangka masa tertentu untuk memohon sokongan Cif Inspektor Soichiro Yagami di dalam rancangannya untuk memberkas Kira. Akibatnya, namanya yang ditulis di dalam Nota Maut milik Rem tidak mendatangkan kesan. Ini membolehkan L mempunyai masa yang cukup untuk menangkap Kira sebelum dia sendiri mati.
Misa Amane
Misa Amane (弥海砂 Amane Misa) Suara oleh: Aya Hirano
Seorang gadis yang cinta akan Kira. Dia ialah idola Jepun yang popular, dan sering berpakaian gaya Gothik Lolita. Dia berperangai keanak-anakan dan sering menggunakan kata ganti diri ketiga (memanggil dirinya "Misa-Misa") untuk nampak comel. Misa mencintai Light "pada pandangan pertama". Namun Light hanya melihatnya sebagai aset utama bagi rancangannya kerana Nota Maut dan "Mata Shinigami" milik Misa (yang diperolehinya dengan menggadaikan separuh daripada baki jangka hayatnya). Mata Shinigami membolehkan Misa mengetahui nama dan masa ajal seseorang dengan hanya melihat muka mereka. Hal ini membolehkan Kira mendapat kelebihan dalam pertarungannya dengan musuh-musuhnya. Dia jatuh cinta kepada Kira (Light) setelah mendapat tahu melalui akhbar bahawa pembunuh keluarganya telah dibunuh oleh Kira, tidak kira tindakan tersebut adalah salah atau tidak.
Menurut jilid How To Read 13, Misa membunuh diri setelah mengetahui kematian Light, tetapi dia tidak pula membunuh diri di dalam versi anime dan filem.
Mello (メロ Mero)
Mello atau nama sebenarnya Mihael Keehl ialah anak yatim yang membesar bersama-sama Near di rumah anak yatim berbakat luar biasa milik Watari. Dia juga ialah calon utama pewaris L. Seperti L yang gemar memakan gula-gula, Near juga gemar memakan coklat. Tidak seperti Near dan L, dia sering bersikap emosional walaupun agak pintar. Dia mati setelah Kiyomi Takada membunuhnya menggunakan cebisan Nota Maut.
Near (ニア Nia)
Seperti Mello, Near (nama sebenar: Nate River) adalah salah seorang calon pengganti L dan memanggil dirinya N semasa penyiasatan. Dia juga memiliki persamaan seperti L; jika L suka bermain dengan benda seperti gula batu dan garpu, Near suka bermain alat permainan dan rambutnya sendiri. Dia menawarkan diri untuk bekerjasama dengan Mello bagi menentang Kira. Apabila Mello menolak, dia memperoleh sokongan kerajaan Amerika Serikat dan menubuhkan Pasukan Penyiasatan Kira (Special Provision for Kira; SPK).

Shinigami

Shinigami, atau dikenali sebagai Dewa Maut, adalah makhluk berupa seperti syaitan yang tinggal di Dunia Shinigami. Mereka menulis nama manusia di dalam Nota Maut masing-masing untuk memanjangkan jangka hayat mereka. Walau bagaimanapun, oleh sebab keadaan di Dunia Shinigami amat membosankan, tindakan tersebut sering ditertawakan dan hanya dilakukan secara sembunyi. Shinigami tidak boleh dibunuh secara fizikal seperti tikaman atau tembakan, dan mesti mematuhi peraturan yang ketat jika mahu terus hidup tanpa hukuman.
Ryuk
Ryuk (リューク Ryūku?) Suara oleh: Shidou Nakamura
Shinigami yang mencicirkan Nota Mautnya ke dunia manusia, yang kemudiannya dikutip oleh Light. Dia bertanggungjawab memulakan kisah Death Note kerana berasa bosan. Ryuk sering bersikap atas pagar atau neutral, maka dia kerap enggan menolong Light dan hanya sekadar menonton sahaja. Paling penting, dia bukanlah kawan atau lawan bagi Light. Dia hanya bertindak mengikut kemahuannya untuk menghiburkan hatinya dan sering tidak memberitahu secara terperinci mengenai Nota Maut kepada Light. Ryuk mementingkan diri sendiri, tetapi pada masa tertentu dia pasti akan menolong Light jika dia dihiburkan atau diberi epal. Ryuk amat menggemari epal dan menganggap epal adalah makanan khusus untuk shinigami.
Rem
Rem (レム Remu?) Suara oleh: Kimiko Saitou
Shinigami perempuan yang memberikan Nota Maut dan Mata Shinigami kepada Misa. Seperti Ryuk, dia memiliki 2 Nota Maut, tetapi memberikan salah satu daripadanya kepada Misa. Rem mewarisi Nota Maut keduanya daripada Jealous dan menganggapnya lebih sesuai untuk diberikan kepada Misa. Yang ganjilnya, Rem juga mewarisi perasaan sayangnya kepada Misa dan juga ingin melindungi Misa walaupun dia terpaksa menggadai nyawanya sendiri. Dia mendedahkannya kepada Light apabila dia secara terang-terangan tidak mempercayai Light dengan mengatakan bahawa jika Misa mati sebelum ajalnya, Rem akan membunuh Light, dengan itu akan turut menamatkan riwayatnya juga. Rem akhirnya mati setelah dipergunakan oleh Light untuk membunuh L berikutan rasa khuatir Misa mungkin akan ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati.
Gelus (ジェラス Jerasu) Suara oleh: Ken'ichi Matsuyama
Gelus hanya muncul semasa imbasan kembali dalam jilid 4 apabila Rem menerangkan satu cara membunuh shinigami. dalam imbasan kembali tersebut, Rem ternampak Gelus memerhatikan Misa Amane semasa kecil di dunia manusia. Terperanjat dengan sikapnya yang amat mengambil berat, Rem turut menyaksikan detik yang sepatutnya menjadi detik terakhir Misa. Oleh kerana dia tidak mahu Misa mati, dia menulis nama bakal pembunuh Misa di dalam Nota Mautnya. Akibatnya Gelus mati dan jasadnya berubah menjadi seakan pasir bercamput karat sebagai hukuman kerana memanjangkan jangka hayat manusia. Rem mewarisi Nota Maut keduanya dari Gelus yang telah mati. Nama Gelus sering disalah eja sebagai "Jealous" dan ejaan sebenar namanya didedahkan dalam Death Note: How to Read 13.
Shidoh
Shidoh adalah shinigami yang datang ke dunia manusia untuk merampas Nota Mautnya yang dicuri oleh Ryuk. Setelah mendapati Nota Mautnya berada di tangan Mello, dia mendedahkan dirinya kepada Mello dan memberitahu rahsainya. Dia sering dikenali sebagai shinigami yang bodoh.
Armonia Jastin Beyondllemason (Jastin si Tulang Barang Kemas)
Walaupun hanya muncul sekejap di jilid 8, Jastin memberi Shidoh beberapa tatal mengandungi pelbagai peraturan untuk berinteraksi dengan manusia. Dia juga memaklumkan kepada Shidoh bahwa Nota Mautnya memang dicuri oleh Ryuk. Shidoh menggunakan maklumat tersebut untuk berhubung dengan Mello.

Pasukan penyiasatan

Sepasukan pegawai polis Jepun yang diketuai Soichiro Yagami, bekerjasama dengan L untuk mengesan Kira.
Soichiro Yagami (夜神総一郎 Yagami Sōichirō) Suara oleh: Naoya Uchida
Ayah Light serta ketua pasukan penyiasatan yang berdedikasi dan yakin untuk menangkap Kira dengan apa cara sekalipun. Dia amat mengambil berat akan keluarganya. Menurut jilid How to Read 13, Soichiro adalah satu-satunya watak yang berpegang kepada prinsip keadilan yang sebenarnya. Dia mati ditembak orang bawahan Mello dalam operasi merampas semula Nota Maut dari tangan kumpulan mafia yang dianggotai Mello. Namun demikian, Soichiro tidak mati di dalam versi filem.
Tota Matsuda (松田桃太 Matsuda Tōta) Suara oleh: Ryo Naito
Ahli pasukan penyiasatan yang paling becok. Walaupun kebanyakan ahli lain sebulat suara bersetuju bahawa perbuatan Kira adalah salah, ada kalanya Matsuda mempersoalkannya jika tindakan Kira adalah betul - tanpa banyak berfikir. Tindakannya untuk memasuki Bangunan Yotsuba membolehkan ahli lain mendekati kumpulan Yotsuba. Dia juga adalah ahli yang paling mudah diperdaya oleh Light yang sangai dipercayainya dengan sepenuhnya. Sungguhpun demikian, semasa penghujung jalan cerita Death Note, dia mengamuk dan menembak Light semasa Light cuba untuk menulis nama Near pada cebisan Nota Maut pada jamnya kerana Matsuda berasa tertipu (dia tidak mengamuk di dalam filem). Dia adalah ahli termuda dalam pasukan peyiasatan polis.
Kanzo Mogi (模木完造 Mogi Kanzō) Suara oleh: Kazuya Nakai
Mogi adalah ahli yang paling berdedikasi dalam kumpulan penyiasatan. Dia selalunya bersikap pendiam. Sifat pendiamnya terserlah apabila dia enggan menjawab soalah Near mengenai Pasukan Penyiasatan Jepun. Sungguhpun demikian, dia adalah pengumpul maklumat yang cekap serta menjadi pelakon yang cemerlang di sebalik sifat pendiamnya itu.
Shuichi Aizawa (相沢周市 Aizawa Shūichi) Suara oleh: Keiji Fujiwara
Bersikap becok dan panas baran, Aizawa adalah ahli tertua bagi kumpulan yang diketuai Ketua Polis Yagami. Aizawa memilih untuk meninggalkan pasukan penyiasatan dan terus berada dalam pasukan polis apabila L meminta ahli kumpulan membuat keputusan untuk meninggalkan kumpulan sebagai polis biasa. Dia terus membantu pasukan penyiasatan sebagai anggota polis biasa dan menyertai semula pasukan penyiasatan setelah penangkapan Higuchi Kyosuke dari Kumpulan Yotsuba.
Setelah kematian Cif Inspektor Soichiro Yagami, Aizawa menggantikan tempat ketuanya itu.
Watari (Quillsh Wammy) (ワタリ Watari) Suara oleh: Kiyoshi Kobayashi
Pembantu L. Dia berperanan dalam menguruskan logistik bagi kumpulan penyiasatan. Dia menubuhkan "Rumah Wammy", rumah anak yatim yang pernah didiami L, Mello dan Near. Dia juga adalah penembak tepat yang berpengalaman seperti yang ditunjukkan dalam jilid 6. Sama seperti L, dia mati setelah Rem menulis namanya.
Hideki Ide (伊出英基 Ide Hideki)
Ide meninggalkan pasukan penyiasatan sebelum pertemuan berdepan dengan L kerana meragui keikhlasan L. Menyertai pasukan polis semasa situasi penahanan di Sakura TV. Kemudian dia menyertai semula pasukan penyiasatan. Peranannya dalam membebaskan Sayu Yagami adalah kerana dia mendapat "paling kurang perhatian", tetapi ironinya dia tiada bulu kening dan penyamaran kemudiannya termasuklah misai yang kelihatan seperti Adolf Hitler.
Hirokazu Ukita (宇生田広数 Ukita Hirokazu) Suara oleh: Hidenobu Kiuchi
Ukita mengingkari arahan ketuanya dan cuba menghalang Sakura TV daripada menyiarkan pita video "Kira palsu". Dia mati akibat sakit jantung di hadapan stesen TV tersebut.

Watak lain

Sachiko Yagami (夜神幸子 Yagami Sachiko) Suara oleh: Ai Satou
Ibu Light serta isteri Soichiro. Dia hanya memainkan peranan yang kecil dan tidak sedar Light memiliki Nota Maut.
Sayu Yagami (夜神粧裕 Yagami Sayu) Suara oleh: Haruka Kudo
Adik perempuan Light. Dia juga hanya memainkan peranan kecil dan tidak sedar abangnya memiliki Nota Maut. Dalam satu babak, dia ditangkap oleh Mello yang menggunakannya untuk memperoleh Nota Maut.
Raye Penber (レイ・ペンバー Rei Penbā) Suara oleh: Hideo Ishikawa
Raye Penber adalah ahli pasukan FBI yang dihantar ke Jepun bagi menyiasat kes pembunuhan oleh Kira. Ditugaskan untuk mengekori Light Yagami, tindakannya dikesan oleh Ryuk, bukan kerana hendak menolong Light tetapi untuk dirinya sendiri. Light kemudiannya membuat satu rancangan yang membuatkan Penber membunuh seluruh ahli FBI yang lain tanpa disedari sebaik sebelum dia mati.
Di dalam filem, namanya ditukar kepada Raye Iwamatsu (レイ・イワマツ Rei Iwamatsu).
Naomi Misora (南空ナオミ Misora Naomi) Suara oleh: Naoko Matsui
Bekas agen FBI. Tunang Raye Penber. Dia adalah watak pertama yang menyedari bahawa Kira boleh membunuh dengan cara lain selain sakit jantung. Semasa kematian tunangnya, dia memulakan penyiasatan sendiri untuk mengesan identiti Kira. Di sebalik peranan kecilnya dalam manga dan anime, dia adalah seorang watak penting dalam filem pertama, menjadi antagonis kedua terhebat bagi Light (L adalah antagonis terhebat). Walau bagaimanapun, dia akhirnya dibunuh oleh Light dalam satu pertemuan apabila dia mengetahui Naomi bakal menjadi ancaman besar kerana mengetahui hakikat di sebalik kematian Raye Penber.
Kyosuke Higuchi (Kira Yotsuba, Kira Ketiga) (火口卿介 Higuchi Kyosuke) Suara oleh: Issei Futamata
Ketua pembangunan teknologi bagi kumpulan Yotsuba, Higuchi adalah Kira ketiga yang muncul. Higuchi diberi Nota Maut oleh Rem setelah Light memberitahunya untuk mencari orang yang korup dan gila kuasa. Dia mempergunakan Nota Maut untuk memperluaskan kuasanya.
Teru Mikami (Kira Keempat) (魅上照 Mikami Teru)
Mikami memperoleh hak milik Nota Maut dari Light. Dengan kepercayaan bahawa kononnya Kira adalah dewa, dia terus membunuh penjenayah sementara Light diperhatikan untuk menghilangkan rasa syak pihak polis. Konsep keadilan Mikami adalah sama seperti Light. Di dalam manga, dia mati di dalam penjara tetapi di dalam versi anime pula dia membunuh diri.

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Translate

Popular Post

Blog Archive

- Copyright © Uchiha-Zone -Metrominimalist- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -